Friday, August 13, 2010

Syurgalah tempatmu..

Pada hari Sabtu yang lepas, seorang pelajar tingkatan 3 di sekolah tempat saya mengajar, telah meninggal dunia akibat lemas di sungai. Tidak sempat beliau menemui Ramadhan pada tahun ini ditambah pula tak lama lagi percubaan PMR. Jadi pada hari Isnin, kami telah mengadakan tahlil buat beliau diketuai oleh En. Ruzman. Sayu kedengaran suara cikgu Ruzman yang menangis teresak-esak ketika membacakan doa tahlil tersebut. Encik Ruzman mengajar subjek matematik moden. Namun kebanyakan pelajar memanggilnya ustaz kerana ilmu agama yang ada dalam dirinya sangat luas.

Sehari sebelum Ramadhan, sekolah kami sekali lagi mengadakan tahlil untuk arwah-arwah yang telah diberikan nama oleh waris masing-masing. Agak terkilan kerana terlupa untuk menyertakan nama arwah sahabat saya Fatimatussolihah. Semoga sahabatku ini gembira di sisi Allah. Ustaz Zainuddin mendahului majlis tersebut tetapi cikgu Ruzman sekali lagi membacakan doa tahlil tersebut. Sekali lagi cikgu Ruzman menangis teresak-esak ketika membacakan doa tersebut. Agaknya cikgu Ruzman faham maksud ayat tersebut jadi dia dapat menangis teresak-esak. Saya yang langsung tak mengerti bahasa Arab hanya mendengar dan mengaminkan doa tersebut. Betapa kerdilnya diriku ini di pandangan Allah. Takutnya bila membaca buku berunsur balasan Allah terhadap orang yang melakukan dosa. Takutnya bila mendengar tanda-tanda kiamat yang semakin ketara kini dan takutnya seksaan kubur dan neraka. Takutnya jika tak menjadi salah seorang yang bakal menghiasi syurga Allah. Betullah firman Allah yang berbunyi, “Jika kita lalai dalam dunia ini kerana mengejar keseronokan dunia, maka kita adalah antara orang-orang yang rugi.”

No comments: